Wednesday, 29 April 2015

BAJU KURUNG TRADISIONAL - MENDAPATKAN UKURAN

Bermula dari hari ini dan beberapa hari akan datang, saya akan fokus kepada menghasilkan baju kurung tradisional . Ia agak mudah untuk beginner kerana jahitannya yang lurus. Tetapi memerlukan sedikit kesenian untuk menyudahkannya bagi mendapatkan hasil yang membanggakan.
BAJU KURUNG TRADISIONAL

Perkara utama sebelum memulakan sesuatu projek jahitan adalah perlu bagi kita mendapatkan ukuran sipemakai. Saya menggunakan skala "inci" dan "hun" dalam setiap ukuran yang saya gunakan diblog ini. Ini tidak menimbulkan masalah kerana pita ukuran dan pembaris untuk jahitan masih menggunakan skala inci.

Untuk Baju Kurung Tradisional@ Pesak Buluh, kita boleh mengukur terus ke badan sipemakai atau mengukur ke baju contoh. Jangan lupa mencatat setiap ukuran yang telah diambil.

Mengambil Ukuran Badan Secara Terus

1. Lebar Bahu
- Ukuran diambil dari sisi kiri ke sisi kanan.

 *** Daripada ukuran bahu, ukuran diambil terus sehingga ke labuh lengan yg dikehendaki. Ini adalah untuk mengelakkan berlakunya lebihan ukuran yang akan menyebabkan lengan menjadi labuh.

2. Panjang Lengan
- Ukuran diambil terus daripada ukuran bahu ke lengan. Seeloknya 1 inci dari paras buku lengan. Hasilnya ditolak dengan lebar bahu untuk mendapatkan panjang lengan.

3. Labuh Baju

- Ukuran diambil dari pangkal leher melalui puncak dada sehingga ke ukuran labuh baju yg dikehendaki.

4. Keliling Pangkal Lengan
- Ukuran diambil dengan mengukur keliling pangkal tangan/ketiak dan memberi kelonggaran sekurang-kurangnya dapat memasukkan 2 jari.

 5. Buka Lengan
- Ukuran bukaan untuk hujung baju kurung.

6. Keliling Dada
- Ukuran diambil pada keliling dada yang paling tinggi di dada.

7. Keliling Pinggang
- Ukuran diambil disekeliling pinggang iaitu kawasan yang paling genting di badan.

8. Keliling Punggung
- Ukuran diambil disekeliling paras punggung yang paling tinggi/paling lebar.

9. Labuh Kain
- Ukuran pada sisi badan dari paras pinggang sehingga ke labuh kain yang dikehendaki, seeloknya hingga ke paras tapak kaki tanpa kasut.

Mengambil Ukuran Dengan Menggunakan Baju Contoh

Dapatkan sehelai baju yang selesa dipakai untuk mendapatkan ukuran.
Bentangkan baju kurung dan ambil ukuran yang diperlukan seperti rajah di bawah.
 Gunakan pita pengukur untuk mendapatkan ukuran ukuran berikut.
A. Lebar bahu
B. Labuh baju
C. Panjang lengan
D. Lebar pangkal lengan
E. Lebar hujung lengan.
F. Lebar pesak atas
G. Panjang pesak
H. Lebar pesak bawah
I. Panjang sisi kekek
J. Keliling Lubang Leher


Sekian untuk bab mengukur bagi membuat baju kurung.







1 comment: