Tuesday 5 May 2015

Cara Mudah Jahit Piping Pada Shawl Dan Tudung

Piping adalah satu bentuk kemasan yang dibuat dengan menutup pinggiran kain yang kasar menggunakan jalur kain kecil yang panjang supaya nampak kemas, rapi dan menarik. Jalur kain kecil yang panjang tersebut biasa disebut di kalangan tukang jahit sebagai lis, kun atau kain potong serong. Dalam bahasa Indonesia disebut bisban. Dalam bahasa Inggeris pula disebut 'bias tape' atau 'bias binding'

Piping biasanya dilakukan di leher baju kurung, kemasan pada pinggiran selendang dan tudung, di hujung kain skirt kanank-kanak, beg tangan, dompet dan lain-lain.

Memasang 'bias tape' ini memang agak rumit kerana saiznya yang kecil yang menyebabkan jahitan sering terbabas atau tergelincir sewaktu menjahit.

Terdapat banyak tutorial di internet yang menunjukkan bagaimana cara menjahit piping ini. Google sahaja istilah yang saya sebut di atas, pasti akan jumpa cara menjahit piping dengan berbagai cara.

Bias tape/bias binding/lis/kun/bisban ini boleh diperolehi dengan pelbagai jenis material malahan juga boleh dibuat sendiri dengan menggunakan 'Bias Tape Maker'.

Di mana nak nak mendapatkan lis atau kun ini? Pergi sahaja di kedai-kedai yang menjual barangan jahitan atau kraf pasti akan ada dijual.

Untuk jahitan selendang dan tudung biasanya lis atau kun ini adalah dari fabrik satin kerana sifat yang berkilau amat menarik sekali dan nampak kontras dengan warna tudung atau selendang.

Saya ingin menunjukkan cara yang biasa saya gunakan untuk menjahit piping ini pada selendang dan tudung.

Sebelum itu memang terdapat tapak khas untuk jahitan piping ini seperti di bawah. Saya pernah menggunanya tetapi hasilnya tidak begitu memuaskan. Akhirnya saya tidak menggunanya lagi. Mungkin mesin saya tidak sesuai dengan tapak piping tersebut.

tapak jahitan piping

Cara yang saya gunakan adalah dengan menggunakan mesin jahit lurus biasa dengan tapak yang biasa.

Sediakan lis/kun mengikut warna yang disukai yang sesuai/sepadan dengan warna tudung/selendang.

lis/kun

Buka lis/kun tadi dengan permukaan berkilau di atas dan permukaan kasar di bawah. Lipat lis/kun tadi pada hujung kain tudung/selendang dan letakkan di bawah tapak mesin.


Jahit lurus seperti biasa. Kemahiran menjahit diperlukan kerana kawalan yang tidak betul boleh menyebabkan jahitan tergelicir atau terbabas. Terpaksa tetas semula dan ini merugikan masa. Saya sudah mencuba berbagai cara dan cara ini saya rasa paling cepat dan kemas. Setiap tukang jahit mempunyai cara masing-masing. Ada yang menjahit dua kali dan ada ada juga yang meletak jarum peniti supaya lis/kun tidak terkeluar dari kain.


Ini adalah hasil jahitan. Kemas dan menarik.



SELAMAT MENCUBA

2 comments:

  1. Terima kasih atas ilmunya..saya ambil yg haq sahaja.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas ilmunya..saya ambil yg haq sahaja.

    ReplyDelete